8 PERKARA YANG DIHARAMKAN OLEH ISLAM DALAM PERNIAGAAN



Perniagaan adalah kerjaya mulia yang dianjurkan oleh Islam. Perniagaan merupakan salah satu sumber pendapatan yang halal dan berkat. Namun perlu diketahui beberapa perkara yang diharamkan oleh Islam dalam perniagaan.


1. Mengamalkan riba


Riba ialah sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh.


Riba adalah perkara yang diharamkan dalam Islam dan meupakan salah satu dari dosa besar yang wajib dielakkan oleh seorang muslim.


Pengharamannya disebutkan secara jelas dalam al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah SWT :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ  (٢٧٨)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.” (al-Baqarah : 278)

 

2. Memeras ugut dan mengambil harta dengan cara yang batil


Islam juga mengharamkan perbuatan memeras ugut serta tindakan megambil harta orang lain dengan cara yang batil (salah) seperti mencuri, merompak, menipu, memperdaya, judi dan seumpamanya.


Sekiranya seseorang berkeinginan kepada sesuatu pada milikan orang lain maka ia boleh mendapatkannya melalui jalan perniagaan yang bebas dari sebarang unsur yang salah dan batil.


Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَٰرَةً عَن تَرَاضٖ مِّنكُمۡۚ وَلَا تَقۡتُلُوٓاْ أَنفُسَكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمۡ رَحِيمٗا  (٢٩)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu.” (al-Nisa : 29)

 

3. Menipu dan bersumpah bagi melariskan barangan


Islam melarang sebarang bentuk penipuan dalam perniagaan. Menipu ialah melakukan suatu helah untuk kepentingan diri sendiri dan memudharatkan orang lain.


Termasuk dalam perbuatan menipu ialah perbuatan bersumpah dengan nama Allah dengan tujuan melariskan barang jualan.

عَنْ ‏ ‏أَبِي قَتَادَةَ الْأَنْصَارِيِّ ‏أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَقُولُ ‏‏إِيَّاكُمْ وَكَثْرَةَ الْحَلِفِ فِي الْبَيْعِ فَإِنَّهُ يُنَفِّقُ ثُمَّ ‏ ‏يَمْحَقُ. أيْ: فأن كثرة الحلف فى البيع قد يؤدي ألى  رواج السلعة إلا أنه بعد ذلك إلى  يُزِيل الْبَرَكَتها.

Maksudnya: Diriwayatkan oleh Abi Qatadah al-Anshari, sesungguhnya ia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Awas kamu dari banyak bersumpah dalam berniaga. Sesungguhnya (kadang kala) banyak bersumpah dalam berniaga boleh melariskan barangan akan tetapi selepas itu ia akan menghilangkan barakahnya.”

 

4. Memberi atau menerima rasuah


Rasuah adalah pemberian yang dibuat bertujuan untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang salah atau bukan dengan cara yang sebenar.


Rasuah merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Ia akan menyebabkan terhakis keberkatan dalam perniagaan. Orang yang terlibat dengan rasuah akan mendapat laknat daripada Allah SWT.


Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ ‏ ‏عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو ‏ ‏قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي. (رواه الترمذي)

Maksudnya: Dari Abdullah bin Amru katanya, Rasulullah SAW bersabda Allah SWT melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.

 

5. Memonopoli barangan


Monopoli barangan dibuat agar barangan keperluan berkurangan di pasaran. Ia bertujuan untuk menaikkan harga barangan dan boleh dijual dengan lebih mahal. Dengan itu, perniaga akan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda.


Ia adalah dilarang dalam Islam kerana ia menyebabkan kemudharatan kepada masyarakat awam, khususnya golongan miskin dan mereka yang berpendapatan rendah.


Rasulullah SAW bersabda;

عن معمر أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: " من احتكر فهو خاطئ" . أى: فهو بعيد عن الحق والعدل. (رواه مسلم)

Maksudnya: Dari Ma’mar bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda; “Barang siapa memonopoli barangan (ihtikar) maka ia telah melakukan kesalahan.” Yakni ia telah tersasar jauh dari perkara yang sebenar dan keadilan.

 

6. Mengurangkan kadar sukatan dan timbangan


Helah mengurangkan kadar timbangan dan sukatan untuk mendapat keuntungan yang lebih adalah dilarang dan tercela dalam Islam.


Allah SWT telah menemplak peniaga yang berbuat demikian, firmannya:

وَيۡلٞ لِّلۡمُطَفِّفِينَ (١) ٱلَّذِينَ إِذَا ٱكۡتَالُواْ عَلَى ٱلنَّاسِ يَسۡتَوۡفُونَ (٢)  وَإِذَا كَالُوهُمۡ أَو وَّزَنُوهُمۡ يُخۡسِرُونَ (٣)

Maksudnya: “Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.” (al-Mutaffifin : 1-3)

 

7. Membeli barangan yang dicuri, diragut atau dirampas tanpa hak


Islam melarang dan menegah sebarang bentuk transaksi jual beli yang melibatkan barangan curi, ragut dan seumpamanya, kerana ia adalah sebahagian dari bentuk tolong-menolong kepada dosa dan permusuhan.


Hadis Rasulullah SAW menyatakan,

عن أبي هريرة ، عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قال : "من اشترى سرقة ، وهو يعلم أنها سرقة ، فقد شرك في عارها وإثمها"

Maksudnya: Diriwayatkan Abi Hurairah, dari Rasulullah SAW, bahawa baginda bersabda: “Barang siapa membeli barangan curi, sedangia mengetahui barang itu adalah dicuri, maka ia telah berkongsi sama (dengan pencuri) pada aib dan dosanya.”

 

8. Menjual najis


Ijma’ di kalangan ulama tentang haramnya perniagaan barangan yang najis pada zatnya seperti arak, babi, anjing, bangkai dan seumpamanya.


Islam mengharamkan sebarang bentuk perniagaan barangan najis ini kerana ianya boleh mendatagkan mudarat dan kerosakkan dimuka bumi.


Hadis daripada Rasulullah SAW,

‏عن ‏جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ ‏ ‏يَقُولُ سَمِعْت ُرَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَقُولُ عَامَ الْفَتْح ِإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَرَسُولَهُ ‏ ‏حَرَّمَ بَيْع َالْخَنَازِيرِ وَبَيْعَ الْمَيْتَةِ وَبَيْعَ الْخَمْر ِوَبَيْعَ الْأَصْنَامِ

Maksudnya: Dari Jabir bin Abdullah katanya, ia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda pada tahun pembukaan kota Mekah, “sesungguhnya Allah SWT dan Rasulnya telah mengharamkan jual beli babi, bangkai, arak dan patung berhala.”

 

Semoga menjadi panduan kepada kita semasa menjalankan urusan perniagaan, agar hasil keuntungan daripada perniagaan kita adalah halal dan berkat.




Comments